PENGENALAN
Majlis Belia Negeri Pulau Pinang (MBNPP) ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berperanan sebagai badan penyelaras pertubuhan belia dan Majlis Belia Daerah, serta menjadi wadah yang membawa suara, aspirasi dan kepentingan belia di Negeri Pulau Pinang. Ditubuhkan pada 17 November 1948 dengan nama asal Settlement Youth Council and Province Wellesley, MBNPP merupakan Majlis Belia Negeri yang pertama di Tanah Melayu. Penubuhannya merangkumi kawasan pulau dan Seberang Perai, dengan Hakim F.C Arulanandum sebagai Presiden yang pertama.
MBNPP menghimpunkan gerakan belia daripada pelbagai latar belakang bagi menggalakkan pembangunan belia yang seimbang dalam bidang ekonomi, sosial, jasmani, rohani, pemikiran dan politik. Melalui kerjasama badan-badan gabungan dan pelaksanaan program pembangunan belia, MBNPP berusaha memperkukuh kepimpinan, perpaduan serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan anak muda. Usaha ini turut memupuk semangat berkhidmat kepada masyarakat dan negara bagi melahirkan generasi belia yang matang, berdaya maju serta bertanggungjawab.


No comments