Breaking News

KENYATAAN MEDIA : BELIA DAN MASA DEPAN PEKERJAAN DI MALAYSIA



Tarikh 1 Mei saban tahun merupakan tarikh yang signifikan kepada pekerja Malaysia. Namun demikian, rata-rata belia hari ini tidak pernah berpeluang untuk menyambut hari pekerja kerana mereka tidak pernah berada dalam mana-mana industri mahupun bekerja secara rutin.

Statistik menunjukkan kadar pengangguran anak muda adalah tiga kali ganda yakni 10.9% berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia berbanding mereka yang jauh lebih berusia. Lebih parah lagi, dalam suasana pandemik ini, perlu diambil kira adakah kumpulan belia yang sedang bekerja antara segmen yang paling mudah diberhentikan atau terbabit dalam skim pelepasan pekerja secara sukarela oleh majikan?

Menurut laporan, 78 ribu pekerja yakni sebanyak 46.6 peratus daripada 168,182 responden yang menyertai ‘kajian khas kesan coronavirus (COVID-19) terhadap ekonomi dan individu’ mengakui kehilangan pekerjaan menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidi.

Menurut Majlis Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), apa yang penting ialah golongan pekerja dan belia mempunyai kemahiran dan nilai tambah yang membolehkan mereka bersaing dalam arena globalisasi. Hal ini dilihat mustahak dan menjadi fokus utama oleh kerajaan dan pihak berwajib. Diharapkan agar waktu PKP ini dapat dimanfaatkan oleh para mahasiswa agar belajar asas kemahiran dan meningkatkan pengetahuan am secara informal yang boleh digunakan dalam karier masing-masing kelak.

Majlis Belia Malaysia (MBM), sebagai pemegang taruh terbesar belia-belia di Malaysia telahpun secara proaktif melaksanakan sesi libat urus bersama belia di seluruh negara. Pertemuan dua hala ini mustahak dalam proses mengenalpasti isu pekerjaan dan pengangguran belia di Malaysia. 4 siri yang diadakan di borneo dan 5 siri di semenanjung Malaysia melihatkan rata-rata belia mahu untuk diberikan lebih banyak ruang dan peluang untuk terlibat dalam industri dan pekerjaan.

Tidak kurang jua, para graduan dari pelbagai latar belakang akademik, cenderung untuk menerokai bidang-bidang kemahiran dan vokasional demi memastikan mereka mampu untuk diserap dalam pekerjaan berasaskan kemahiran. Hal ini dapat menipiskan jurang kesenjangan pendapatan antara pekerja profesional dan pekerja mahir.

Umumnya, para belia juga ada yang telahpun menjadi majikan melalui perniagaan masing-masing dalam usia yang muda. Namun demikian, mereka masih perlukan dasar dan polisi yang tuntas dalam memayungi mereka sebagai majikan untuk jangka masa panjang. Umum, keterlibatan di dalam perniagaan akan ada pasang surutnya. Tapi pasang surut untuk usahawan jutawan pastinya hanya terduduk.

Manakala usahawan yang kecil-kecilan pastinya realiti mereka berbeza dan kesan seperti tersungkur dan memerlukan lebih banyak pelampung kewangan. Dengan stimulus pakej Prihatin PKS, MBM mengharapkan agar belia-belia mendapat akses info dan mekanisme bantuan. Rakyat juga digalakkan agar meningkatkan pembelian domestik dan mengamalkan 4B (Beli Barangan Buatan Belia).

Ahli akademik juga disaran agar tampil dengan dapatan-dapatan sosio-ekonomi yang dapat membantu falsafah pekerjaan dan pendapatan yang holistik untuk belia di Malaysia. Adapun ekonomi lejang atau gig economy merupakan salah satu sektor yang dipelopori oleh para belia kini, ianya masih lagi belum mempamerkan satu jaringan keselamatan sosial yang dinamik kepada individu belia dan keluarga secara amnya.

Masih belum terlambat untuk Malaysia mencontohi negara jiran seperti Singapura yang menyediakan Resilience Budget Booklet dan memperuntukkan dana khas untuk pembangunan komuniti. Hal ini dapat dilaksanakan dengan partisipasi pekerja belia profesional sebagai penjana tenaga dalam membangun ekonomi dan sosial negara secara berterusan. Profesionalisme pekerja belia ini dapat memberikan navigasi positif sebagai pemerkasaan karier belia di dalam NGO.

MBM turut menyeru kepada semua badan korporat, agensi-agensi dan syarikat-syarikat mengutamakan tenaga kerja dalam kalangan belia dan warga tempatan. Ini bukan sahaja langkah mutlak dalam membina ekonomi negara, tetapi membebaskan belia daripada gejala ekono-money yang lebih merunsingkan.

Selamat Hari Pekerja dan Selamat Bekerja Warga Belia!

A’TIQAH SYAIRAH SHAHARUDDIN
PENOLONG SETIAUSAHA AGUNG
MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh: 1 Mei 2020

No comments