Breaking News

Suasana Suram Menyambut Hari Belia Negara (HBN) 2020



 Suasana Hari Belia Negara 2020 pastinya sedikit suram apabila Malaysia dan seluruh Negara di dunia sedang berkuarantin secara besar-besaran bagi memerangi pandemik Covid-19. Malaysia juga sedang mengharungi era “Malaysia Terbaharu” selepas pentadbiran Negara bertukar tangan kepada Pakatan Nasional (PN). Secara jujur pasti ada belia dan rakyat Malaysia yang suka akan pertukaran tampuk pemerintahan ini dan pastinya ada yang tidak suka namun subjek belia pastinya dan sewajarnya menyatukan semua kerana belia adalah aset Negara yang harus digilap bersama.

Belia Malaysia bertuah kerana hari istimewa mereka diiktiraf dan diraikan pada setiap 15 Mei. Negara lain juga meraikan hari belia namun Malaysia dianggap istimewa kerana Malaysia bukan hanya meraikannya semata-semata tetapi benar-benar mengangkat harakat, martabat dan darajat belia dengan bukti mempunyai antara sistem pembangunan belia dan pergerakan belia antara terbaik di dunia. Hatta negara maju seperti Kanada dan Australia mencemburui Malaysia kerana mereka tidak punyai dasar belia. Zambia sebagai contoh menyambut hari belia negara mereka setiap 12 Mac namun belianya masih bergelut dengan isu pengangguran dan peluang penghakupayaan yang kurang. Pengangguran di Zambia dijangka mencecah 12.70 pada tahun ini bahkan dijangka bakal memburuk akibat pendemik.

Belia Malaysia juga turut mendapat tempias besar pendemik Covid. Ia merupakan suatu situasi yang amat sukar dan mencabar ke hadapan namun hidup mesti diteruskan. Kehadiran 15 Mei pastinya memberikan sedikit cahaya pengharapan apabila belia Malaysia berpeluang membuat permohonan dan tuntutan sebulat suara agar Perdana Menteri menawarkan sesuatu yang terbaik dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri di Hari Belia Negara (HBN) 2020. Pastinya ia akan menjadi nasi dan lauk tambah kepada Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yasin beberapa minggu lalu.

Di sebalik kesuraman ini, belia Malaysia wajar bersyukur kerana rakan sebaya mereka di Palestin menyambut 15 Mei sebagai Hari Nakbah atau Hari Malapetaka di mana mereka memperingati kekejaman Zionis yang terus menjarah negara mereka hampir puluhan tahun. Hampir 70 peratus rakyat Palestin merupakan belia dan mereka sudah tentu masih terpaksa terus dirundung bayangan penjarahan ditambah lagi dengan keganasan pandemik Covid. Dengan kesuraman ini, belia Malaysia mampu merasa denyut nadi kesusahan mereka sebagai lambang solidariti dan sebuah kebangkitan.

Di sebalik kesuraman ini juga, pastinya pengumuman dan tawaran yang di nanti-nantikan oleh para belia daripada ucapan kemuncak Perdana Menteri bersempena HBN yang bakal berlansung secara dalam talian pada 15 Mei 2020 ini akan sedikit memberi tonik untuk para belia terus bangkit dan ‘resilience’ membina semula Malaysia dengan kebiasaan baharu atau new normal.

Pastinya tahun ini tiada himpunan besar-besar bagi menzahirkan kegembiraan seperti kebiasaan namun kehidupan kebiasaan baharu harus disesuaikan. Walaupun begitu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Malaysia dengan kapten barunya Dato’ Seri Reezal Merican dan Majlis Belia Malaysia (MBM) terus berganding bahu bagi menceriakan denai dan jalan menuju HBN 2020 yang berbaki kurang sebulan dari sekarang dengan pelbagai aktiviti-aktiviti dalam talian seperti pencarian Hero Tidak Didendang (Unsung Heroes) untuk Covid-19, pertandingan poster HBN, Bicara Perdana Belia, Pasar Maya HBN (HBN Virtual Fair) dan banyak lagi.

Di kesempatan ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) berbesar hati menitipkan harapan secara umumnya kepada Perdana Menteri bersempena HBN 2020 ini ialah agar Kerajaan terus komited menyerlahkan potensi dan bakat belia sebagai aset terpenting selaras dengan Dasar Belia Malaysia (DBM) 2015-2035 yang bersifat futuristik dan holistik. Sudah sampai masanya Kerajaan melalui KBS berganding padu dengan MBM bertindak bak negarawan ulung untuk menumpukan mempersiapkan sebuah generasi masa depan yang kuat. Malaysia perlukan Greta Thunberg versi Malaysia yang lebih handal dan sakti menggegarkan pentas dan podium global dengan pelbagai isu melibatkan kepentingan sejagat. Mereka ini juga harus kita persiapkan secara rapi untuk memimpin dunia yang lebih adil dan saksama. Buat permulaan, produk graduan Sekolah Kepimpinan Masa Hadapan atau Malaysia Future Leadership School (MFLS) wajar dijadikan batalion asas untuk terus digilap menjadi pemimpin global. KBS dan MBM sedang memulakan langkah ini bersama Angkatan Belia MFLS (Alumni MFLS).

Ini merupakan keutamaan atau awlawiyyat pihak Kerajaan yang berjiwa negarawan iaitu memberikan fokus dan kesungguhan yang serius untuk membina generasi masa hadapan yang kuat dan bukannya sibuk dengan soal politiking sempit dan picisan. Ia juga selaras dengan peringatan Allah Taala dalam surah an Nisa’ ayat 9 agar tidak meninggalkan generasi yang lemah atau dzurriyatan dhia’fan.

Selain itu, harapan menggunung MBM agar Kerajaan terus fokus dengan lebih agresif menyelesaikan masalah kemelesetan ekonomi dan pengangguran yang dijangka bakal memburuk sejurus selepas Covid-19 sirna dengan peratusan pengangguran yang diunjurkan oleh Bank Negara mencecah 4.0%. Pengangguran bukan ‘new normal’ dan ia bakal menjadi bom jangka jika gagal ditangani sebaiknya. Tawaran dwi-partisan pihak pembangkang sewajarnya disambut baik bagi sama-sama menggembling kudrat memulihkan ekonomi yang menjadi faktor sepunya terpenting untuk semua pihak. Formulasi gabungan sementara Kerajaan-Pembangkang-Belia-Rakyat mampu menatijahkan sesuatu masa depan yang baik untuk politik, ekonomi dan masa depan Negara. ‘Gencatan senjata’ politik amat ‘crucial’ buat sementara waktu demi belia, rakyat dan Negara. MBM amat mengalu-alukan pertemuan YAB Perdana Menteri baru-baru ini bersama ketua blok pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim membincangkan cabaran menangani Covid-19 dan kemelesetan ekonomi.

Secara khususnya juga, pihak MBM berharap pihak Kerajaan terus memperkasa pergerakan belia negara sebagai suatu wahana penting pembangunan belia positif atau positive youth development (PYD) yang membina citra watak dan karakter bangsa Malaysia sekaligus menjauhkan belia daripada gejala sosial dan menjimatkan wang negara. Walaupun ia platform konvensional namun dengan elemen inovasi sosial dan kreativiti ia mampu direjuvenasikan menjadi sebuah wahana segar memasyarakat dan mengorganisasikan para belia khususnya generasi Z. Ini merupakan back to basic  memandangkan pastinya Kerajaan pastinya lebih memahami di mana Tan Sri Muhyiddin pernah menganggotai kepimpinan pergerakan belia daerah Muar dan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang ke-12 pada dasawarsa 90an manakala Dato’ Sri Reezal merupakan mantan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Untuk rekod, dalam kabinet terkini terdapat 5 bekas Menteri Belia dan 2 mantan Presiden MBM.

Sebagai sebuah iltizam dan komitmen berterusan, MBM sukacita mencadangkan agar pihak Kerajaan memproklamasikan Piagam Belia atau Youth Charter. Malaysia sudah dikenali sebagai negara contoh yang mempunyai agenda dan sistem pembangunan belia antara yang terbaik di dunia. Dengan adanya Dasar Belia Malaysia (DBM), Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan 2019) dan Majlis Perundingan Belia Belia menjadikan darjat dan martabat belia Malaysia diangkat dan diiktiraf oleh Kerajaan. Selaras dengan agenda mengarusperdanakan belia dan komitmen Kerajaan, maka wajar hak belia terus diangkat sebagai suatu kategori istimewa daripada hak asasi umum. Ia memperkukuhkan lagi keseriusan pihak Kerajaan mendengar suara dan kesungguhan menyerlahkan potensi belia di semua peringkat. Hak belia yang khusus seperti contoh:

a.) hak untuk dibantu bagi penyerlahan potensi dan penggilapan bakat;

b.) hak untuk suara dan aspirasi didengari dan dirundingi;

c.) hak untuk mendapat persekitaran di mana belia dilayani dengan penuh hormat;

d.) hak untuk mendapat ruang atau ‘space’ untuk berkarya dan beraktiviti;

e.) hak untuk dilibatkan bagi tujuan pembuatan polisi dan keputusan melibatkan kepentingan belia dan Negara,

wajar diangkat, dideklarasi dan diproklamasikan dalam bentuk Piagam Belia atau ‘Youth Charter’ untuk diabadikan dan disampaikan mesej kepada semua pihak bahawa golongan belia merupakan aset Negara yang tidak ternilai. Maka bersempena Hari Belia Negara 2020 merupakan medan terbaik untuk memproklamasi Piagam Belia Negara ini.

Demikian sekelumit coretan bagi menghangatkan suasana yang sedia suram bagi membawa semua para belia menetapkan minda untuk sama-sama menyambut hari besar untuk lebih 14 juta belia Negara. Semoga biduk berlalu kiambang bertaut dengan segera.

Selamat menyambut HBN 2020 dan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak! Ini hari besar anda.

JUFITRI BIN JOHA

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

No comments